
Buat julung kalinya kumpulan Indonesia yang pernah popular di Singapura dan Malaysia pada era 70-an iaitu D'lloyd bakal beraksi di Istana Budaya menerusi Konsert D'lloyd Semalam di Malaysia bermula 6 hingga 8 Mei 2011 ini.
Pentas berprestij itu akan menjadi gelanggang untuk kumpulan lagenda yang dianggotai oleh Syamsuar Hashim(vokalis), Bertje Van Houten (gitaris), Yuhanny Fatmarida Susilo(seruling), Chairul Daud (dram), Candra Chasmana (keyboard) dan Uce F Tekol (bass) ini mengubat rindu peminat mereka melalui lagu-lagu hits mereka.
Apa tidaknya, siapa mampu melupakan lagu malar hijau mereka yang masih menjadi siulan sehinga kini seperti Keagungan Tuhan, Tak Mungkin, Oh Di Mana, Cinta Hampa, Mengapa Harus Jumpa dan Semalam Di Malaysia yang menjadi judul untuk konsert mereka itu.
Justeru, Syamsuar dan Bartje telah diterbangkan ke Malaysia oleh Mass Frequency untuk menjayakan rangka promosi tentang konsert ini serta menwar-warkan mengenai konsert mereka dalam satu sidang media yang telah berlangsung di Istana Budaya, petang semalam.
Syamsuar selaku vokalis berkata, dia begitu terharu dengan kedatangannya ke Malaysia itu sehingga mengalirkan air mata ketika ditanya oleh pihak media tempatan tentang perasaannya apabila berpeluang menjayakan konsert yang besar di Istana Budaya itu nanti.
"Alhamdulilah, biarpun sudah 35 tahun berada dalam industri seni suara, namun kami masih lagi boleh bertahan sehingga kini. Apa yang membuatkan kami terharu ialah apabila melihat ramai lagi peminat yang memberi sokongan kepada kami.
"Tambahan pula, kami berasa amat berbangga dan rasa rendah hati bila diberi kesempatan untuk beraksi di Istana Budaya. Apatah lagi, bila kami sudah lama menganggap Malaysia sebagai rumah kedua D'lloyd.
"Biarpun setelah sekian lama kami tidak ke sini, tetapi kali ini kami rasakan ianya satu penghormatan yang sangat besar buat kami. Kami sungguh terharu dan gembira dengan kerjasama ini. Ini satu pencapaian D'lloyd yang sangat luar biasa memandangkan kami pun sudah lama tidak kembali ke Malaysia," katanya kepada muirai.com.my.
Walaupun semua anggotanya sudah melepasi separuh abad, ia bagaimanapun bukanlah pengukur bagi persembahan mereka kelak kerana apa yang pasti kumpulan itu sudah sedia beraksi dengan momentum barisan lagu-lagu mereka yang hits.
"Insya Allah kami akan membawakan lebih kurang 20 lagu hits kami buat penonton nanti. Tetapi kebanyakkan lagunya agak slow dan hanya beberapa lagu sahaja rancak. Saya pasti penonton akan menyukai lagu-lagu yang kami mahu bawakan nanti," jelasnya yang mahu memberikan kejutan terhadap senarai lagu yang bakal dinyanyikan nanti.
Konsert D'lloyd Semalam di Malaysia yang dijadualkan berlangsung hampir dua setengah jam itu pastinya akan dipenuhi dengan nostalgia manis dan akan menjadi kenangan terindah buat semua peminat yang pernah membesar dengan lagu mereka.
D'lloyd juga bakal berkongsi pentas dengan teman seperjuangan mereka di Malaysia iaitu penyanyi lagenda, Datuk Ahmad Jais yang tidak asing lagi di kalangan kita semua. Manakala, muziknya pula dipimpin khas oleh pengarah muzik, S.Atan.
Tiket untuk menyaksikan menonton Konsert D'lloyd Semalam di Malaysia boleh didapati pada kadar harga RM68, RM98, RM128, RM 208, RM258, RM308 dan RM458 melalui www.ticket2u.biz atau hubungi talian hotline 03 41478600.